Tanda Dan Punca Penyakit Kelamin

Tanda Dan Punca Penyakit Kelamin | Penyakit kelamin disebarkan oleh hubungan seks di antara pasangan yang telah dijangkiti kuman, seperti chlamydia, sifilis, dan gonorrhoea. Ia boleh dijangkiti semasa hubungan seks melalui faraj, dubur atau oral (mulut). Di Malaysia, kes penyakit kelamin bertambah dari setahun ke setahun, lebih-lebih lagi di kalangan remaja yang berumur antara 16 hingga 24 tahun. Di antara sebab bertambahnya kes-kes adalah pendedahan awal kepada seks dan melakukan seks bebas pada umur yang muda.

penyakit kelamin+infolaju.com  Tanda Dan Punca Penyakit Kelamin

Tanda dan Gejala

Anda perlu berjumpa doktor jikalau anda mengalami gejala seperti: gatal, bengkak, keluaran lendir, sakit dan kemerahan di bahagian faraj atau zakar.

Chlamydia

Infeksi chlamydia selalunya tidak memberi apa-apa tanda bagi pesakit wanita, tetapi pesakit mungkin mengalami gejala yang tidak spesifik seperti radang pundi kencing, keluar lendir dari faraj atau sakit dibahagian ari-ari. Lelaki pula selalunya mengadu sakit, bengkak, keluar lendir dari salur kencing dan bengkak salur epididymis (salur dari buah zakar ke batang zakar). Penyakit ini masih boleh berjangkit walaupun gejala hilang selepas beberapa hari.

Ketuat di bahagian kemaluan (Genital warts)

Terdapat ketuat yang berwarna putih atau bintik-bintik putih di kawasan faraj dan kemaluan atau di lubang dubur. Tetapi majoriti pesakit tidak mengadu apa-apa gejala. Ini menyukarkan doktor untuk membuat diagnosa yang tepat bagi penyakit tersebut.

Herpes di bahagian kemaluan (Genital herpes)

Seperti ketuat, herpes selalunya tidak menunjukkan gejala. Mereka yang menunjukkan tanda-tanda penyakit akan mengadu demam, gatal, ‘panas’ dan bengkak di bahagian kemaluan. Kadang kala kulit boleh melepuh dan membentuk ulser menyebabkan sakit semasa membuang air kecil.

Gonorrhoea

Gonorrhoea ialah jangkitan yang melibatkan lelaki dan perempuan. Ia boleh menjangkiti kawasan kemaluan, dubur, usus atau tekak. Lebih kurang 90% pesakit akan mengadu keluaran lendir bernanah dari kemaluan dan sakit semasa membuang air kecil.

Sifilis

Gejala awal adalah pesakit akan mengadu terdapat kudis di bahagian zakar atau faraj. Kudis ini mungkin tidak sakit dan akan hilang sendiri walaupun tanpa rawatan. Kemudian, pesakit mungkin mengalami demam, menggigil dan sakit otot.

HIV

Pesakit mungkin mengadu demam dan sakit otot beberapa bulan selepas dijangkiti virus HIV ini, tetapi majoriti tidak mempunyai apa-apa simptom. Hanya ujian darah dapat memastikan samada anda dijangkiti HIV atau tidak. Ujian darah tersebut mungkin terpaksa diulang jika didapati negatif. Lama-kelamaan, sistem imuniti pesakit akan berkurangan dan beliau akan sukar melawan penyakit.

Radang salur air kencing tidak spesifik (Non-specific urethritis)

Penyakit ini menjangkiti lelaki. Antara gejala penyakit ini adalah terasa sakit semasa membuang air kecil dan pengeluaran lendir dari pangkal saluran air kencing.

Trichomoniasis

Organisma yang menyebabkan penyakit ini diberi nama Trichomonas vaginalis (TV). Kebanyakkan pesakit tidak mengadu apa-apa simptom tetapi segelintir akan mengalami keluar lendir kuning atau kehijauan, gatal dan bengkak di bahagian kemaluan. Pesakit lelaki tidak menunjukkan simptom tetapi selalu menjadi pembawa penyakit ini.

Kutu di bahagian kemaluan (Pubic lice)

Gejala termasuk gatal di bahagian kulit kemaluan. Anda mungkin juga mendapati serbuk-serbuk hitam (najis kutu) atau serbuk putih (telur kutu) di bahagian kemaluan atau seluar dalam.

Kudis buta (Scabies)

Kudis buta boleh berlaku di mana-mana bahagian badan dan juga kawasan lipatan badan. Gejala termasuk gatal (lebih lagi waktu malam), ruam dan bintik-bintik hitam.

Kulat Candidiasis (Thrush)

Gejala termasuk gatal di bahagian kemaluan, keluar lendir putih (seperti dadih) dan bintik-bintik keputihan di bahagian faraj atau zakar.

Penyakit kelamin boleh berjangkit melalui hubungan seks. Anda boleh mendapat penyakit ini jika anda mengamalkan atau melakukan:

  • Hubungan seks melalui faraj tanpa kondom,
  • Hubungan seks melalui dubur
  • Hubungan seks melalui oral (mulut ) atau,
  • Bersentuh dengan kemaluan mereka yang berpenyakit.

Diagnosa

Kebanyakan penyakit kelamin didiagnosa melalui aduan dan sejarah pesakit. Ini diikuti dengan ujian darah, air kencing dan ujian-ujian yang lain. Keputusan ujian adalah rahsia antara pesakit dan doktor. Doktor akan mengambil ujian sapuan di bahagian faraj atau batang zakar (selalunya menggunakan putik kapas) dan akan dihantar ke makmal.Penyakit kelamin memang sukar untuk dikesan memandangkan kebanyakan pesakit tidak menunjukkan apa-apa simptom (seperti chlamydia, trichomonas, dlll).

Komplikasi

Penyakit radang pelvis (Pelvic inflammatory disesase), mengandung luar rahim atau kemandulan.

Rawatan

Penyakit kelamin boleh dirawat dengan antibiotik sementara ubat antiviral boleh digunakan untuk herpes di bahagian kemaluan. Ketuat di bahagian kemaluan selalunya sembuh sendiri tanpa rawatan. Kebanyakan pesakit akan meminta doktor membuang ketuat tersebut untuk sebab-sebab kosmetik. Di antara agen-agen untuk rawatan ini termasuklah cecair nitrogen yang akan membekukan ketuat tersebut. Dalam semua kes penyakit kelamin, pasangan seks pesakit mesti juga dirawat walaupun tidak menunjukkan apa-apa gejala. Ini untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain. Di bawah adalah rawatan-rawatan ringkas tetapi spesifik bagi penyakit-penyakit kelamin:

  • Chlamydia dirawat dengan antibiotik untuk beberapa hari hingga beberapa minggu.
  • Trichomonas vaginalis (TV): mudah dirawat dengan antibiotik.
  • Gonorrhea: biasanya antibiotik diberi untuk sekali sahaja.
  • Radang salur air kencing tidak spesifik (Non-specific urethritis) mudah dirawat dengan antibiotik tetapi boleh menyebabkan masalah kepada saluran air kencing setelah pulih.
  • Virus yang menyebabkan herpes di bahagian kemaluan boleh hidup dalam badan dan tiada rawatan boleh menghilangkannya. Tetapi ubat antiviral boleh mengurangkan simptomnya. Pesakit dinasihat mengamal beberapa amalan sihat yang boleh mengurangkan kebarangkalian virus itu kembali seperti: menghindari dari stres, banyak berehat, berhenti merokok, tidak mengambil alkohol dan tidak berjemur di tempat panas.
  • Kutu di bahagian kemaluan (Pubic lice) boleh dirawati dengan shampu khas, krim atau losyen yang boleh membunuh kutu dan telur-telur kutu.
  • Kudis buta (Scabies) boleh dirawati dengan losyen khas yang dilumur ke seluruh badan dan dibasuh 24 jam kemudian dan ulangi untk 2 atau 3 kali.
  • Setakat ini tiada rawatan untuk AIDS, tetapi ada ubat yang dapat mengurangkan virus HIV dalam badan dan menolong mengekalkan sistem imuniti seberapa lama yang boleh. Penyakit yang berkaitan dengan AIDS boleh juga dirawat.
  • Sifilis boleh dirawat pada peringkat awal menggunakan antibiotik untuk 2 minggu. Ia juga boleh dirawat semasa peringkat akhir penyakit. Tetapi komplikasi kepada jantung dan sistem saraf tidak boleh dirawat.
  • Kulat Candidiasis (Thrush) boleh dirawat dengan pesari (ubat yang dimasukkan ke dalam faraj), krim atau ubat pil makan. Lelaki selalunya menggunakan krim yang disapu dibahagian kemaluan.
  • Ketuat di bahagian kemaluan (Genital warts) boleh dirawat dengan menyapu ubat cecair khas atau membekukannya dengan ubat semburan. Rawatan perlu diulangi beberapa kali untuk beberapa sesi.

Pencegahan

Hindari dari seks bebas dan setia kepada pasangan anda adalah rawatan yang paling efektif dan praktikal. Penggunaan kondom juga efektif untuk menghindari penyakit kelamin. Anda digalakkan kerap menjalani pemeriksaan doktor dan mengenali pasangan anda sebelum berkahwin. Jikalau anda mempunyai simptom-simptom di atas, anda dan pasangan anda digalakkan berjumpa dengan doktor. Pasangan anda juga digalakkan untuk mendapat rawatan jika didapati mengidap penyakit kelamin.

Kumpulan Sokongan

Majlis AIDS Malaysia

Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Hj. Mohd Hatta M.Tarmizi
Penyemak : Datin Dr. Asmah Johar

Incoming search terms:

Comments

comments

Baca Info Ni Jugaclose